RIO DE JANEIRO, 7 Julai - Dunia mesti bertindak untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza.
Gesaan dibuat oleh Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva ketika pemimpin dari 11 negara anggota BRICS berhimpun di sini.
“Kita tidak boleh berdiam diri terhadap genosid yang dilakukan oleh Israel di Gaza, pembunuhan sewenang-wenangnya ke atas orang awam yang tidak bersalah dan penggunaan kebuluran sebagai senjata perang,” kata beliau kepada para pemimpin dari China, India dan negara lain.
Kenyataan itu dibuat ketika rundingan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas disambung semula di Doha dan tekanan semakin meningkat untuk menamatkan perang yang berlarutan selama 22 bulan, sejak ia mula tercetus pada 7 Oktober 2023.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, kempen ketenteraan Israel telah meragut sekurang-kurangnya 57,418 nyawa di wilayah Palestin itu dengan majoritinya orang awam. - AFP