fb fb fb fb fb

Uganda mahu gubal undang-undang anti-gay baharu

(Annet Anita Among)

KAMPALA, 1 Mac- Uganda akan mencadangkan rang undang-undang anti-gay baharu pada Rabu, menurut speaker parlimen negara itu, Annet Anita Among.

Among berkata, ia susulan wujudnya konspirasi di media sosial berkaitan usaha pihak asing 'mempromosikan homoseksualiti'.

Beliau memberitahu mesyuarat pada Selasa bahawa pihaknya akan mencadangkan rang undang-undang anti-homoseksualiti, selain turut berkongsi video perjumpaan itu melalui Twitter dengan catatan 'kita mesti melindungi nilai dan budaya kita yang dihargai'.

Kerajaan Barat dan agensi bantuan yang berkhidmat di negara itu didakwa mempromosikan hubungan sejenis di wilayah Timur Afrika serta mempertahankan komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender, queer (LGBTQ).

Bulan lalu, Kerajaan Uganda menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat dakwaan mempromosi hak golongan itu di sekolah.

Pada 2014, Mahkamah Uganda menolak rang undang-undang diluluskan Ahli Parlimen yang ditandatangani Presiden Yoweri Museveni, bagi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada mereka yang melakukan hubungan homoseksual.

Undang-undang itu mencetuskan kemarahan global dengan beberapa negara bertindak menghentikan penghantaran bantuan kepada negera berkenaan. -AFP

(Perarakan Mardi Gras Gay dan Lesbian ke-45 di Sydney
pada 25 Februari 2023/AFP)

 

Media Baharu