NEWARK, 10 Mei - Datuk Bandar Newark, Ras Baraka dibebaskan selepas ditahan di sebuah pusat tahanan imigresen persekutuan pada Jumaat.
Baraka, yang merupakan calon Parti Demokrat bagi jawatan Gabenor New Jersey ditahan oleh ejen Perkhidmatan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) dalam satu pergelutan di pintu masuk kemudahan ICE di Newark.
Kejadian itu berlaku semasa lawatan tiga anggota delegasi Kongres New Jersey, menurut jurucakap kepada Wakil AS Bonnie Watson Coleman.
Jurucakap Ned Cooper memaklumkan kepada Reuters bahawa Coleman dan dua rakannya, Wakil LaMonica McIver dan Robert Menendez Jr. turut terlibat dalam kekecohan tersebut namun tiada kecederaan dilaporkan.
Pemangku Peguam Negara AS, Alina Habba, menerusi kenyataan di platform media sosial X, mendakwa Baraka telah menceroboh dan mengabaikan beberapa amaran untuk meninggalkan kemudahan yang dikenali sebagai Delaney Hall.
Baraka kini bersaing dalam pencalonan Parti Demokrat bagi jawatan Gabenor New Jersey, dengan pemilihan parti dijadualkan bulan hadapan.
Sementara itu, aktivis hak imigresen mendakwa Delaney Hall, sebuah pusat tahanan berkapasiti 1,000 orang yang dikendalikan oleh syarikat penjara swasta GEO Group, beroperasi tanpa permit bandar yang sah serta dibuka meskipun mendapat tentangan masyarakat dan wakil rakyat tempatan.
Bagaimanapun, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa kemudahan itu menempatkan individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan geng dan jenayah. GEO Group belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen.-REUTERS