fb fb fb fb fb

Jenayah pencerobohan: Eropah sokong tribunal khas dakwa Rusia

Foto Reuters

KIEV, 10 Mei - Negara-negara Eropah pada Jumaat menyatakan sokongan terhadap penubuhan sebuah tribunal khas untuk mendakwa Presiden Rusia, Vladimir Putin dan pegawai kanan lain atas jenayah pencerobohan terhadap Ukraine.

Sokongan itu dinyatakan pada mesyuarat di Lviv, Ukraine, yang disertai oleh menteri-menteri luar dari hampir 20 negara Eropah.

Mereka memberi persetujuan politik kepada tribunal berkenaan dan mengalu-alukan penyempurnaan kerja teknikal yang diperlukan bagi menubuhkannya.

Tribunal tersebut bakal ditubuhkan di bawah kerangka Majlis Eropah, badan pemantau hak asasi manusia utama di rantau itu yang diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua bagi mempertahankan hak asasi dan kedaulatan undang-undang.

Dalam satu kenyataan, kumpulan teras yang dianggotai sekurang-kurangnya 37 negara mengesahkan penandatanganan "Penyataan Lviv", dokumen yang menandakan selesai penyediaan instrumen undang-undang yang diperlukan bagi tribunal itu.

“Kami mengalu-alukan penyempurnaan kerja teknikal ke atas draf instrumen undang-undang yang diperlukan bagi menubuhkan Tribunal Khas bagi Jenayah Pencerobohan terhadap Ukraine dalam kerangka Majlis Eropah,” kata kenyataan itu.

“Kami mengulangi kepentingan kritikal Tribunal Khas dalam menegakkan keadilan dengan mendakwa pihak yang memikul tanggungjawab terbesar bagi jenayah antarabangsa paling serius yang dilakukan terhadap Ukraine.”

Tribunal khas itu dijangka mula beroperasi seawal tahun hadapan.

Menteri Luar Britain, David Lammy berkata penubuhan tribunal itu menghantar mesej tegas kepada Putin dan sekutunya bahawa "kebebasan akan mengatasi".

Menteri Kehakiman Belanda, David van Weel turut menyifatkan langkah itu sebagai signifikan kerana ia “mengisi kekosongan” dalam usaha mendakwa kepimpinan yang melakukan jenayah pencerobohan terhadap negara lain.

Ukraine telah mendesak penubuhan tribunal khas itu sejak awal pencerobohan Rusia pada Februari 2022, selain mendakwa tentera Rusia telah melakukan ribuan jenayah perang.

Sebelum ini, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Putin berhubung pemindahan kanak-kanak Ukraine ke Rusia.

Bagaimanapun, ICC tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa pegawai Rusia atas jenayah pencerobohan kerana Rusia bukan anggota Statut Rom dan Ukraine pula bukan ahli penuh ketika pencerobohan berlaku.

Untuk membolehkan ICC mendakwa atas jenayah pencerobohan, negara anggota perlu meluluskan pindaan tambahan. Moscow pula menolak waran tangkap ICC itu dan menyifatkannya sebagai "batal serta tidak sah".-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN