WASHINGTON, 10 Mei - Kumpulan Tujuh (G7) negara maju menggesa India dan Pakistan agar menunjukkan kawalan maksimum dan segera mengadakan dialog secara langsung bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak antara dua negara jiran bersenjata nuklear itu.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Jumaat, menteri-menteri luar dari Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Amerika Syarikat, Britain dan Kesatuan Eropah menyeru kedua-dua negara mengambil langkah ke arah penyelesaian aman.
“Kami menyeru agar ketegangan diturunkan serta-merta dan menggalakkan kedua-dua negara untuk mengadakan dialog langsung ke arah penyelesaian secara aman,” menurut kenyataan itu.
Gesaan tersebut dibuat susulan peningkatan terbahru dalam persaingan antara India dan Pakistan yang berlarutan selama beberapa dekad.
Amerika Syarikat, antara kuasa G7, dilaporkan telah mengadakan perbincangan tetap dengan kedua-dua pihak dan menggesa penurunan ketegangan.
Namun, Naib Presiden JD Vance pada Khamis menyatakan bahawa peperangan antara India dan Pakistan adalah “bukan urusan kami.”
India dilihat sebagai rakan strategik penting bagi kuasa Barat dalam menyeimbangi pengaruh China, manakala kepentingan Pakistan sebagai sekutu AS dilihat berkurang sejak pengunduran tentera Amerika dari Afghanistan pada 2021.
G7 turut “mengutuk sekeras-kerasnya” serangan pejuang Islam pada 22 April lalu yang menyebabkan 26 orang terbunuh di Kashmir yang ditadbir India.
India menuduh Pakistan bertanggungjawab, namun Pakistan menafikan dakwaan itu dan menyeru siasatan bebas dijalankan.
Wilayah majoriti Islam Kashmir dituntut sepenuhnya namun ditadbir sebahagian oleh kedua-dua India yang majoriti Hindu dan Pakistan yang majoriti Islam. Wilayah itu berdekad-dekad menjadi medan perang, pemberontakan dan ketegangan diplomatik.
Pakistan memaklumkan minggu ini bahawa kedua-dua negara telah mengadakan hubungan di peringkat Majlis Keselamatan Negara masing-masing.-REUTERS