BAGHDAD, IRAQ, 4 Januari - Sekurang-kurangnya 17 individu ditahan pihak berkuasa Iraq susulan penularan sebuah rakaman video yang memaparkan seorang wanita diganggu dan dipaksa oleh sekumpulan lelaki ketika sambutan Ambang Tahun Baharu di Basra, selatan negara itu.
Rakaman yang tular di media sosial itu menunjukkan mangsa menjerit ketakutan apabila ditolak, diangkat dan cuba dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan, di hadapan orang ramai yang berkumpul di kawasan awam.
Pihak berkuasa mengesahkan kejadian berkenaan berlaku di bandar Basra dan tindakan segera diambil selepas insiden itu mencetuskan kecaman meluas dalam kalangan masyarakat.
Gabenor Basra, Asaad al-Eidani berkata 17 individu telah ditahan bagi membantu siasatan dan memberi jaminan bahawa kerajaan tempatan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perbuatan yang mencabul maruah wanita serta mengganggu keselamatan komuniti.
“Kerajaan tempatan tidak akan menerima sebarang tingkah laku yang melanggar kesopanan awam atau menjejaskan keselamatan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Insiden itu turut dikecam Pertubuhan Kebebasan Wanita Iraq (OWFI) yang menyifatkan gangguan beramai-ramai terhadap wanita semakin kerap berlaku dalam acara awam, sekali gus menjadikan ruang awam semakin tidak selamat.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih satu juta wanita dan kanak-kanak perempuan di Iraq kini berdepan risiko keganasan berasaskan jantina. - AFP
