ISLAMABAD, 10 Mei - Pengerusi Parti Rakyat Pakistan (PPP), Bilawal Bhutto Zardari mengecam tindakan agresif India susulan peningkatan ketegangan antara India dan Pakistan yang kini berada di ambang konflik besar.
Dalam wawancara bersama China Global Television Network (CGTN), Zardari menegaskan Pakistan berhak mempertahankan diri dan akan terus bertindak balas di bawah hak antarabangsa.
Beliau menolak dakwaan India kononnya menyasarkan pengganas dan mendakwa India menggunakan alasan palsu untuk mengalihkan perhatian daripada isu dalaman.
Zardari turut menyatakan keprihatinan terhadap keengganan India untuk berunding, meskipun Pakistan telah berusaha memulakan dialog.
Zardari menyeru masyarakat antarabangsa agar campur tangan dan memegang India bertanggungjawab, sambil menekankan risiko konflik nuklear yang membawa implikasi global.
Beliau menggesa siasatan antarabangsa bebas dan dialog demi perdamaian.
India melancarkan serangan pada Rabu ke atas Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan dengan mendakwa menyasarkan “infrastruktur pengganas” selepas insiden pembunuhan 26 pelancong di Kashmir yang dikuasai India bulan lalu.
Tentera Pakistan melaporkan sekurang-kurangnya 31 orang terkorban dalam serangan tersebut.
Sebagai tindak balas, tentera Pakistan menembak jatuh lima pesawat pejuang India dalam pertempuran udara.-REUTERS