fb fb fb fb fb

Aplikasi Tawakkalna Arab Saudi lancar perkhidmatan semakan permit haji

Foto hiasan/ BERNAMA

RIYADH, 10 Mei- Aplikasi kebangsaan Arab Saudi, Tawakkalna, kini menawarkan ciri baharu yang membolehkan pengguna menyemak permit haji bagi tahun 1446 Hijrah, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Perkhidmatan itu disediakan menerusi integrasi dengan Tasreeh, platform digital sehenti bagi permit haji yang dilancarkan baru-baru ini oleh Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Data dan Kecerdasan Buatan Arab Saudi (SDAIA).

Ciri baharu itu memudahkan akses kepada semua jenis permit berkaitan haji yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan, termasuk kad Nusuk, lesen dan permit masuk bagi jemaah haji tempatan dan antarabangsa ke Makkah serta kawasan suci.

Ia turut merangkumi permit untuk petugas haji, sukarelawan dan kenderaan, melalui pautan teknikal dengan platform Nusuk milik Kementerian Haji dan Umrah.

Pengguna boleh mengakses perkhidmatan ini dengan memuat turun aplikasi Tawakkalna daripada gedung aplikasi rasmi seperti App Store, Google Play, AppGallery dan Galaxy Store.- BERNAMA-SPA

ROSLINA BINTI DIN