fb fb fb fb fb

Gangguan baharu jejas lalu lintas udara Newark

Foto Reuters

NEWARK, 10 Mei - Fasiliti kawalan lalu lintas udara yang menyelia penerbangan masuk dan keluar dari Lapangan Terbang Newark mengalami gangguan komunikasi selama 90 saat awal pagi Jumaat, insiden kedua dalam tempoh dua minggu.

Gangguan tersebut menyebabkan skrin radar pengawal trafik udara menjadi gelap, sekali gus mendorong aduan daripada seorang pengawal kepada sebuah penerbangan FedEx berdekatan.

“FedEx 1989, saya akan serahkan anda sekarang, skrin kami gelap semula,” kata pengawal berkenaan dalam rakaman komunikasi yang diperoleh Reuters.

Beliau turut menasihati juruterbang untuk menghubungi syarikat penerbangan bagi memberi tekanan agar isu berkenaan diselesaikan segera.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), gangguan itu menjejaskan komunikasi dan paparan radar di Terminal Radar Approach Control (TRACON) Philadelphia yang mengendalikan laluan pesawat di sekitar Newark Liberty.

Insiden berlaku pada kira-kira pukul 3.55 pagi waktu tempatan (0755 GMT) dan berlarutan selama lebih kurang 90 saat.

Insiden tersebut sekali lagi menyerlahkan kelemahan infrastruktur kawalan trafik udara negara itu yang semakin uzur.

Ia berlaku sehari selepas Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat, Sean Duffy, mengumumkan cadangan pelaburan berbilion dolar untuk menaik taraf sistem berkenaan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Jurucakap White House, Karoline Leavitt, memaklumkan gangguan itu berpunca daripada isu telekomunikasi yang sama seperti kejadian sebelum ini.

Usaha untuk membaik pulih masalah teknikal tersebut dijadualkan dilakukan lewat Jumaat bagi mengelakkan gangguan berulang.

FedEx dalam satu kenyataan mengesahkan penerbangan terbabit selamat tiba di Boston tanpa sebarang insiden. “Kami menghargai profesionalisme kru dan pengawal trafik udara dalam menangani situasi mencabar ini dengan selamat,” kata syarikat itu.

Sementara itu, FAA pada 7 Mei lalu memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah segera untuk menangani masalah yang telah menjejaskan ratusan penerbangan di Newark sejak 28 April, khususnya melibatkan United Airlines, syarikat penerbangan terbesar di lapangan terbang itu.

Antara langkah yang diambil termasuk menambah bilangan pengawal trafik udara, memasang tiga sambungan telekomunikasi berjalur lebar baharu, dan menyediakan sistem sandaran sementara di TRACON Philadelphia semasa peralihan kepada rangkaian gentian optik yang lebih stabil.

Bagaimanapun, FAA tidak memberikan penjelasan lanjut mengapa sistem sandaran sedia ada gagal mencegah gangguan terbaharu itu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN