fb fb fb fb fb

Lelaki sesat dalam hutan 31 hari ditemukan selamat

(Mangsa (tengah) berjalan bersama abang dan adiknya selepas diselamatkan/Reuters)

LA PAZ, 1 Mac- Seorang lelaki yang sesat di dalam hutan Amazon selama 31 hari ditemukan selamat oleh pasukan penyelamat pada Sabtu.

Jhonattan Acosta, petani koko berusia 30 tahun, tersesat di hutan Baures-Beni pada 25 Januari ketika memburu bersama rakan-rakannya.

Menurut media tempatan, Acosta kehilangan berat badan sehingga kira-kira 17 kilogram.

Lelaki itu memberitahu bahawa dia bertarung nyawa dengan memakan serangga dan cacing, selain minum air hujan serta air kencing untuk terus hidup.

"Saya sentiasa berdoa supaya hujan turun. Jika tidak, saya tak tahu bagaimana untuk terus hidup, malah saya digigit pelbagai spesis serangga dan haiwan sepanjang malam.

"Ia sukar dipercayai. Saya tidak percaya bahawa orang masih mencari saya," kata Acosta.

Acosta berkemungkinan menjadi individu paling lama hilang di Amazon, jika kes kehilangannya itu disahkan pihak berkuasa.

Sebelum ini, pengembara warga Israel, Yossi Ghinsberg dilaporkan terselamat selepas terperangkap selama tiga minggu di Amazon pada 1981.

Kes yang terkenal di Bolivia itu turut jadikan filem berjudul 'Jungle', yang dibintangi Daniel Radcliffe.

Sementara itu, seorang juruterbang, Antonio Sena, dilapor berjaya diselamatkan selepas 38 hari hilang di Amazon akibat terbabit dalam nahas pesawat, pada 2021.

Selain itu, dua beradik berusia tujuh dan sembilan tahun turut dilaporkan berjaya diselamatkan selepas hilang selama 25 hari di hutan berkenaan. -AFP

(Mangsa ditemu ramah media di sebuah hospital di La Asunta ketika
menerima rawatan/Reuters)

Media Baharu