fb fb fb fb fb

Ubat 'sirap maut', Indonesia batal lesen dua syarikat kerana langgar peraturan

FOTO REUTERS

JAKARTA, 1 November - Agensi Pengawasan Ubat dan Makanan Indonesia (BPOM) membatalkan lesen pengeluaran ubat jenis sirap demam bagi dua syarikat tempatan kerana melanggar peraturan pengilangan.

Keputusan dibuat selepas meneliti hasil siasatan kes kematian lebih 150 kanak-kanak akibat kecederaan ginjal akut.

Ketua BPOM, Penny K Lukito berkata lesen pembuatan produk kedua-dua syarikat, PT Yarindo Farmatama dan PT Universal Pharmaceutical Industries sudah dibatalkan dan pihaknya sedang meneruskan tindakan jenayah terhadap mereka.

Kedua-dua syarikat itu mengeluarkan ubat dengan bahan mentah yang tidak bermutu, gagal melaporkan perubahan dalam ramuan dan menggunakan beberapa bahan melebihi garis panduan.

Setakat ini, kedua-dua syarikat tersebut tidak memberi sebarang ulasan mengenai keputusan itu.

Indonesia sebelum ini mengenakan larangan sementara penjualan beberapa ubat berasaskan sirap dan mengenal pasti kehadiran etilena glikol dan dietilena glikol yang dipercayai punca kematian berkenaan.

Kedua-dua bahan itu digunakan dalam produk antibeku, cecair brek dan aplikasi industri lain namun ia juga adalah alternatif murah kepada gliserin iaitu pelarut atau ejen pemekat dalam banyak sirap batuk.

Bahan itu boleh menjadi toksik dan membawa kepada kecederaan ginjal akut.-REUTERS


(FOTO REUTERS)

Media Baharu