fb fb fb fb fb

Sedia tangguh lagi tarif import - Presiden Trump

Presiden Trump tunda tarikh laksana tarif dari 9 Julai kepada 1 Ogos. - FOTO Reuters

WASHINGTON, 8 Julai - Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau mungkin menangguhkan lagi pelaksanaan tarif import terhadap beberapa negara melepasi tarikh baharu yang ditetapkan pada 1 Ogos, lapor Agensi Berita Jerman DPA

Ketika ditanya sama ada tarikh baharu itu muktamad, Presiden Trump memberitahu wartawan: “Saya akan kata muktamad, tetapi bukan 100 peratus.”

“Jika mereka hubungi kami dan mereka kata mahu lakukan sesuatu dengan cara berbeza, kami terbuka kepada perkara itu,” tambahnya.

Presiden Trump berkata surat yang dihantar kepada lebih 12 negara - termasuk Jepun, Korea Selatan dan Afrika Selatan - mengenai rancangan tarif itu adalah “muktamad”.

" Namun, jika mereka hubungi dengan tawaran berbeza, dan saya suka, maka kami akan mempertimbangkannya.” kata Presiden Trump.

Semalam, Presiden Trump menunda tarikh pelaksanaan tarif tinggi terhadap rakan dagangan dari 9 Julai kepada 1 Ogos.

Langkah itu bertujuan memastikan surcaj import yang dirancang tidak dilaksanakan sementara rundingan diteruskan, walaupun banyak butiran belum diselesaikan termasuk bagaimana hubungan perdagangan masa depan antara Amerika dan Kesatuan Eropah akan distrukturkan. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN