fb fb fb fb fb

Malaysia Fest 2025 di Singapura sasar 180,000 pengunjung

Sasar 180,000 pengunjung dan nilai jualan langsung RM15 juta. - FOTO Govtl.com

SINGAPURA, 8 Julai - Ekspo Malaysia Fest 2025 di Pusat Konvensyen Singapore EXPO menyasarkan 180,000 pengunjung dan nilai jualan langsung RM15 juta pada edisi kelapan penganjurannya, kata Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli.

Ekspo selama empat hari bermula 31 Julai, anjuran MegaXpress International dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi FAMA itu, menawarkan 321 reruai meliputi produk agromakanan, pelancongan, kesihatan, dan kecantikan dari Malaysia.

“Objektif program ini adalah untuk menyediakan platform untuk usahawan Malaysia mempromosi produk jualan mereka kepada pengguna di Singapura dan berpeluang membina jaringan perniagaan dan mencari pengimport berpotensi,” katanya pada sidang media prapelancaran Malaysia Fest, pada Selasa.

FAMA akan membawa 10 tan buah-buahan tropikal dan bermusim termasuk produk yang pertama kali dibawa ke ekspo ini iaitu limau susu dari Sarawak, Pitaya Twin dari Negeri Sembilan, dan buah Abiu dari Johor.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata produk Malaysia, terutamanya buah-buahan sentiasa mendapat tempat di republik ini, dibuktikan dengan peningkatan nilai dagangan dari kira-kira RM400 juta pada 2020 kepada hampir RM500 juta pada 2023.

Beliau berkata ekspo ini juga akan menjadi platform untuk membantu usahawan mikro, kecil, dan sederhana dari Malaysia menembusi pasaran Singapura selain mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia (Singapura), Norliza Md Zain berkata pada tahun ini agensi itu akan membawa 16 syarikat dari sektor pelancongan menyertai ekspo itu untuk menjual pakej-pakej mereka kepada pengguna di Singapura.

Ekspo itu antara lain akan menyaksikan penglibatan selebriti tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Seri Hasmiza Othman (Datuk Seri Vida), Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Malaysia Fest 2025 bertemakan “Unlock The Treasures of Malaysia” dari 31 Julai hingga 3 Ogos akan berlangsung di Hall 5A dan 5B, Singapore Expo dari 10 pagi hingga 10 malam. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN