GAZA, 10 Ogos - Emiriah Arab Bersatu (UAE) kembali melaksanakan penghantaran bantuan kemanusiaan melalui guguran udara ke Gaza sejak semalam.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif "Birds of Goodness" di bawah Operasi "Chivalrous Knight 3".
Misi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jordan, serta penyertaan Jerman, Itali, Belanda dan Greece.
Langkah itu mengukuhkan komitmen UAE untuk menyokong rakyat Palestin dan meringankan penderitaan mereka di tengah-tengah keadaan kemanusiaan yang sukar.
Dengan operasi terbaharu itu, jumlah keseluruhan bantuan yang digugurkan melalui udara telah melepasi 3,892 tan, sekali gus menekankan komitmen teguh UAE untuk terus bersama rakyat Palestin dan menyokong usaha kemanusiaan antarabangsa yang lebih luas. -Bernama