PARIS, 10 Oktober - Aktivis digital yang menyokong protes diketuai wanita Iran menggodam siaran langsung berita televisyen negara, dengan memaparkan wajah pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei, yang diubah suai.
"Darah belia kami ada di tangan kamu," kata mesej yang disiarkan di skrin ketika siaran bermula jam 9 malam waktu tempatan semalam, ketika protes susulan kematian Mahsa Amini, 22, terus menggegarkan Tehran dan bandar-bandar lain.
Penggodam turut mengganggu rakaman televisyen yang memaparkan Khamenei bertemu pegawai negara, yang diakui dilakukan oleh kumpulan penggodam Edalat-e Ali (Keadilan Ali).
Di sudut kanan skrin, penggodam itu turut menulis 'Sertai kami dan bangkit'.
Paparan yang ditonton rakyat Iran selama beberapa saat itu turut menunjukkan gambar hitam putih Amini dan tiga wanita lain yang terbunuh sejak lebih tiga minggu pergolakan dan tindakan keras pasukan keselamatan negara.
Kemarahan memuncak selepas kematian Amini pada 16 September lalu, tiga hari selepas penahanannya di Tehran oleh polis yang mendakwa dia melanggar kod berpakaian bagi wanita di republik itu.
Penggodaman itu dilaporkan secara meluas oleh media Parsi dan kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di luar Iran, yang berkongsi rakaman itu di media sosial.-AFP