MOSCOW, 5 Julai - Bendera Taliban dilihat berkibar di bangunan kedutaan mereka di sini, selepas Rusia menjadi negara pertama yang mengiktiraf pemerintahan Taliban di Afghanistan
Pada Khamis, Kementerian Luar Negeri Afghanistan melaporkan melalui akaun X rasmi mereka mengenai pertemuan dengan Duta Besar Rusia ke Afghanistan, Dmitri Zhirnov, di mana beliau mengumumkan keputusan Moscow untuk mengiktiraf kerajaan Taliban di Kabul.
Rusia turut menarik semula status Taliban sebagai pengganas - Viory
“Keputusan bersejarah ini akan dilihat sebagai langkah besar ke hadapan dalam hubungan antara kedua-dua negara dan akan menjadi contoh untuk diikuti oleh negara-negara lain,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Kementerian Luar Rusia mengumumkan bahawa Moscow telah menerima watikah daripada Duta Besar Afghanistan yang baharu dilantik ke Rusia, Gul Hassan Hassan.
“Kami percaya bahawa pengiktirafan rasmi terhadap Kerajaan Emiriah Islam Afghanistan akan memberi rangsangan kepada pembangunan kerjasama dua hala yang produktif dalam pelbagai bidang,” kata kenyataan media kementerian itu.
Pada April lalu, Mahkamah Agung Rusia mengumumkan penarikan semula status Taliban sebagai ‘organisasi pengganas’. - VIORY