fb fb fb fb fb

Sungai Seine dibuka semula untuk renang selepas 100 tahun

Foto REUTERS

PARIS, 5 Julai –Sungai Seine dibuka semula kepada orang ramai untuk aktiviti berenang buat kali pertama sejak tahun 1923.

Perenang dibenarkan mandi-manda di laluan air ikonik itu selepas usaha pembersihan besar-besaran selama beberapa tahun.

Ratusan orang awam daripada pelbagai peringkat umur hadir lebih awal sebelum pembukaan zon renang Bras Marie pada pukul 8.00 pagi waktu tempatan iaitu salah satu daripada tiga kawasan berenang yang dibuka di Paris musim panas ini lengkap dengan topi dan cermin mata renang, bersedia untuk terjun meraikan kembalinya aktiviti berenang di Sungai Seine.

“Saya sangka airnya akan sangat sejuk, tapi sebenarnya sangat menyegarkan,” kata Karine, 51, seorang penjaga kesihatan dari tenggara Paris yang menjadi antara orang pertama terjun ke dalam sungai.

Pembukaan semula Sungai Seine secara bermusim untuk aktiviti renang dianggap sebagai salah satu legasi penting Olimpik Paris 2024, menyaksikan acara renang terbuka dan triatlon berlangsung di sungai tersebut yang telah dibersihkan khas untuk temasya sukan itu.

“Ini impian zaman kanak-kanak iaitu melihat orang ramai berenang di Seine,” kata Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo, semasa melawat tapak di pusat bandar berdekatan Ile Saint-Louis.

“Lihatlah betapa gembiranya semua orang,” tambahnya sambil tersenyum.

Penduduk Paris dan pelancong kini boleh melakukan aktiviti di tiga zon berenang tersebut bergantung kepada keadaan cuaca dengan pengawasan penyelamat berpakaian kuning cerah.

Salah satu kawasan itu terletak berhampiran Menara Eiffel.

Ketiga-tiga zon itu dilengkapi bilik persalinan, pancuran air dan perabot gaya pantai, mampu memuatkan antara 150 hingga 300 orang untuk berehat, berjemur dan melarikan diri dari hiruk-pikuk kota.

Pihak berkuasa Paris memaklumkan bahawa pelbagai langkah keselamatan telah diambil bagi memastikan orang ramai dapat menikmati pengalaman berenang dengan selamat, termasuk ujian pencemaran air setiap hari serta penilaian ujian renang kepada pengunjung sebelum dibenarkan berenang bebas.

“Kualiti air kini luar biasa,” kata Marc Guillaume, Pegawai kesihatan wilayah Ile-de-France yang merangkumi Paris.

“Kami memantau dua jenis bakteria, E. coli dan enterococci — tahapnya sepuluh kali dan 25 kali lebih rendah berbanding paras had masing-masing,” katanya.

Namun begitu, pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai mengenai potensi bahaya seperti arus deras, laluan bot dan kedalaman purata sungai sekitar 3.5 meter.

“Sungai Seine masih merupakan persekitaran yang berisiko,” ujar pegawai tempatan, Elise Lavielle, awal minggu ini.

Bagi mengurangkan risiko, penyelamat akan menilai keupayaan renang pengunjung sebelum membenarkan akses bebas, dan dekri yang dikeluarkan akhir Jun lalu memperkenalkan denda kepada sesiapa yang berenang di luar kawasan yang dibenarkan.

Janji untuk membuka semula aktiviti berenang di sungai ini telah dibuat seawal tahun 1988 oleh Datuk Bandar Paris ketika itu yang juga Presiden Perancis kemudian, Jacques Chirac iaitu kira-kira 65 tahun selepas larangan diperkenalkan pada 1923.

“Salah seorang pendahulu saya, Chirac, pernah mengimpikan agar semua orang dapat berenang di Seine,” tulis Presiden Emmanuel Macron di X,

Beliau menyifatkan usaha tersebut sebagai hasil “kerja kolektif” dan satu “kebanggaan” untuk Perancis.

Menjelang Olimpik, pihak berkuasa membelanjakan kira-kira €1.4 bilion (RM7.1 bilion) untuk meningkatkan kualiti air Sungai Seine.

Sistem pembetungan Paris yang dibina sejak abad ke-19 sering melimpah apabila hujan lebat, menyebabkan air hujan bercampur kumbahan mengalir ke sungai.

Bendera amaran akan dipasang setiap hari bagi memaklumkan tahap pencemaran, dan kawasan renang akan ditutup sekiranya hujan turun, jelas pegawai bandar raya Paris, Pierre Rabadan.

Namun, para perenang dijangka lebih bertuah tahun ini kerana ramalan cuaca menunjukkan musim panas yang lebih kering berbanding hujan luar biasa semasa Sukan Olimpik, yang menyebabkan enam daripada 11 acara air terpaksa dibatalkan.

Pembukaan zon renang ini berlangsung selepas bandar Paris mengalami gelombang haba besar minggu ini, yang menyebabkan amaran cuaca tertinggi dikeluarkan oleh agensi cuaca Perancis ketika Eropah dilanda cuaca ekstrem.

Hidalgo, yang turut mengambil bahagian dalam renangan perasmian tahun lalu, menegaskan bahawa membersihkan Sungai Seine bukanlah matlamat akhir tetapi sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk menyesuaikan kota Paris dengan perubahan iklim dan memperbaiki kualiti hidup rakyat.

“Gelombang haba akan semakin kerap,” katanya, sambil menambah bahawa mewujudkan ruang renang selamat akan menyumbang kepada “kehidupan yang lebih gembira dan pastinya lebih harmoni dalam kalangan warga kota”.

Tiga kawasan renang ini dibuka secara percuma kepada umum sehingga 31 Ogos.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD