WASHINGTON, 5 Julai- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi bayangan bahawa beliau mungkin bersedia mengenakan sekatan baharu terhadap Rusia, selepas tiada keputusan sepakat dicapai untuk menamatkan perang di Ukraine.
Trump pada Jumaat menyatakan rasa tidak puas hati terhadap perbualan telefon terbarunya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, dengan menyifatkan pemimpin Rusia itu hanya mahu "terus membunuh orang".
Terdahulu, Trump menangguhkan tindakan sekatan tersebut selama enam bulan dalam usaha memujuk Putin untuk menoktahkan perang yang berlarutan sejak tahun 2022.
“Ia situasi yang sangat sukar. Saya sudah beritahu, saya amat tidak berpuas hati dengan panggilan saya dengan Presiden Putin. Dia mahu pergi habis-habisan, terus membunuh orang, itu bukan perkara yang baik.
Kami sering berbincang soal sekatan. Dia faham ia mungkin akan dilaksanakan,” kata Trump kepada wartawan dalam pesawat rasmi Air Force One.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump berkata beliau turut mengadakan perbualan strategik dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada hari sama, susulan kebimbangan yang semakin meningkat di Kiev berkenaan penghantaran bantuan ketenteraan dari Washington.
Terdahulu, Zelensky memaklumkan bahawa kedua-dua pemimpin bersetuju untuk bekerjasama memperkukuh pertahanan udara Ukraine, selepas serangan udara terbesar oleh Rusia sejak pencerobohan bermula, melibatkan dron dan peluru berpandu.
Trump turut memaklumkan bahawa beliau telah membincangkan kemungkinan menghantar sistem pemintas Patriot ke Ukraine dalam satu lagi panggilan bersama Canselor Jerman, Friedrich Merz, namun belum membuat keputusan muktamad mengenainya.
“Merz rasa Ukraine perlu dilindungi,” ujar Trump.- REUTERS