WASHINGTON, 5 Julai- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat memaklumkan bahawa beliau akan memulakan rundingan dengan China pada Isnin (7 Julai) atau Selasa (8 Julai) berhubung kemungkinan perjanjian berkaitan aplikasi TikTok.
Jelas Trump, AS kini “hampir memuktamadkan” perjanjian berkaitan penjualan aplikasi video pendek itu.
"Ya, kita boleh dikatakan sudah ada perjanjian. Sekarang kita akan mula berbincang. Saya rasa kita akan mulakan pada Isnin (7 Julai) atau Selasa (8 Julai), berbincang dan bertanya kepada China, mungkin dengan Presiden Xi sendiri atau wakilnya.
Tapi secara asasnya, kita sudah ada perjanjian berkenaan TikTok cuma kami perlu dapat kelulusan dari pihak China. Bukan pasti, tapi kemungkinan besar," kata Trump kepada pemberita dalam pesawat rasmi Air Force One.
Bulan lalu, Trump telah melanjutkan tarikh akhir sehingga 17 September untuk syarikat induk TikTok yang berpangkalan di China, ByteDance, menjual aset TikTok di AS.
"Saya tidak yakin sepenuhnya, tapi saya rasa begitu. Saya dan Presiden Xi ada hubungan yang baik dan saya rasa ini sesuatu yang baik untuk mereka.
Saya rasa perjanjian ini baik untuk China dan baik untuk kita juga. Bagi kita, ini soal wang, kalau perjanjian ini berjaya, kita akan jana banyak keuntungan," tambah Trump.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump turut memaklumkan bahawa beliau mungkin akan mengadakan lawatan ke China bagi bertemu Presiden Xi Jinping, atau pemimpin China itu sendiri yang akan berkunjung ke Washington.
Kedua-dua pemimpin berkenaan sebelum ini saling menjemput untuk melakukan lawatan rasmi ke negara masing-masing.- REUTERS