WASHINGTON, 5 Julai- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani satu rang undang-undang utama yang merangkumi pakej besar potongan cukai dan perbelanjaan kerajaan dalam satu majlis khas di White House pada Jumaat.
Rang undang-undang tersebut menyatakan tentang usaha Trump berkait isu migran, menjadikan potongan cukai tahun 2017 kekal secara tetap, serta dijangka menyebabkan jutaan rakyat Amerika kehilangan perlindungan insurans kesihatan.
Keputusan itu diluluskan dengan 218 undi menyokong berbanding 214 menolak selepas perbahasan yang hangat di dewan.
Trump menjadualkan majlis tandatangan itu bersempena sambutan Hari Kemerdekaan AS pada 4 Julai di South Lawn White House, lengkap dengan pertunjukan udara pesawat pengebom halimunan dan jet pejuang yang digunakan dalam serangan ke atas kemudahan nuklear Iran, baru-baru ini.
Ratusan penyokong hadir termasuk pegawai White House, ahli Kongres dan keluarga tentera.
Kelulusan rang undang-undang tersebut merupakan kemenangan besar buat Trump dan sekutunya dalam Parti Republikan yang berhujah bahawa ia akan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Bagaimanapun, laporan bebas meramalkan ia akan menambah lebih AS$3 trilion kepada jumlah hutang negara yang kini mencecah AS$36.2 trilion.- REUTERS