LAS TEJERIAS, 10 Oktober- Sekurang-kurangnya 22 orang terkorban manakala lebih 50 yang lain hilang dalam kejadian tanah runtuh di Venezuela.
Insiden berlaku disebabkan hujan lebat berterusan yang melanda negara itu.
Naib Presiden, Delcy Rodriguez berkata, anggota keselamatan sedang berusaha mengesan mangsa yang terlibat.
"Kami melihat kemusnahan yang sangat ketara dengan ramai penduduk kehilangan nyawa.
Setakat ini kami telah menemui 22 mangsa yang meninggal dunia dan lebih 52 masih hilang," katanya.
(Keadaan kediaman dan premis perniagaan yang musnah dalam
kejadian tanah runtuh di sini / Foto REUTERS)
Rumah dan perniagaan musnah, manakala jalan raya dipenuhi dengan pokok tumbang, lumpur, serpihan kayu, barangan rumah dan kereta rosak.
"Kampung itu 'hilang'. Las Tejerias hilang," menurut seorang penduduk, Carmen Melendez, 55 tahun yang menetap di situ sejak lahir.
Menteri Dalam Negeri dan Kehakiman, Remigio Ceballos memaklumkan, sejumlah 1,000 orang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat.
Penduduk tempatan dilihat menggali sisa-sisa rumah yang rosak dalam usaha mencari ahli keluarga mereka.
Pasukan keselamatan pula tiba dengan anjing pengesan untuk mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan. -AFP