fb fb fb fb fb

2 kes baharu virus nipah di Kerala, India

Foto fail/REUTERS

NEW DELHI, 6 Julai - Dua kes baharu virus Nipah dilaporkan di negeri Kerala, selatan India, menurut penyiar kerajaan All India Radio pada Sabtu.

Menurut pegawai, virus berbahaya itu telah meragut nyawa seorang remaja perempuan berusia 18 tahun, manakala seorang wanita berusia 38 tahun yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sedang menerima rawatan di hospital, lapor Xinhua.

Pegawai memaklumkan sampel kedua-dua pesakit disahkan positif di Institut Virologi Kebangsaan pada Jumaat.

Remaja itu dibawa ke Kozhikode dari sebuah hospital swasta di Kottakkal dengan demam panas dan muntah yang teruk. Menurut doktor, beliau didapati mati otak ketika tiba di hospital.

Wanita berkenaan pula mengalami demam hampir 20 hari lepas dan telah mendapatkan rawatan di dua tempat.

Kembalinya kes jangkitan Nipah ini telah menimbulkan kebimbangan baharu dalam kalangan pegawai kesihatan negeri itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan virus Nipah merupakan zoonosis baharu yang menyebabkan penyakit teruk dalam kalangan haiwan dan manusia. Jangkitan dalam kalangan manusia biasanya menunjukkan gejala sindrom ensefalitis yang dicirikan dengan demam, sakit kepala, mengantuk, kekeliruan mental dan koma, yang boleh membawa maut. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF