fb fb fb fb fb

Gencatan senjata Gaza: Netanyahu tolak cadangan Hamas

Foto AFP

BAITULMAQDIS, 6 Julai– Israel akan menghantar delegasi ke Qatar pada Ahad bagi membincangkan kemungkinan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa perubahan yang diminta oleh Hamas terhadap cadangan gencatan senjata yang disokong Qatar adalah tidak boleh diterima.

"Perubahan yang cuba dimasukkan Hamas ke dalam cadangan Qatar telah disampaikan kepada kami malam tadi dan tidak boleh diterima oleh Israel.

"Bagaimanapun, delegasi Israel tetap akan ke Qatar untuk meneruskan usaha mencapai perjanjian berdasarkan cadangan asal yang telah dipersetujui Israel, khususnya dalam usaha membawa pulang tebusan," menurut kenyataan itu.

Hamas pada Jumaat memaklumkan bahawa mereka telah memberi maklum balas terhadap cadangan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS); hanya beberapa hari selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan bahawa Israel telah bersetuju dengan “syarat-syarat yang diperlukan” untuk memuktamadkan gencatan senjata selama 60 hari.

Namun, seorang pegawai Palestin daripada kumpulan Hamas memaklumkan masih terdapat kebimbangan berhubung bantuan kemanusiaan, akses melalui lintasan Rafah di selatan, serta ketidaktentuan jadual penarikan tentera Israel.

Terdahulu, serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 57,000 nyawa rakyat Palestin.

Ia turut mencetuskan krisis kebuluran dan perpindahan besar-besaran melibatkan keseluruhan penduduk wilayah itu.- REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM