fb fb fb fb fb

Turkiye temukan kotak hitam pesawat tentera Libya terhempas di Ankara

Pasukan mencari dan menyelamat Turkiye tiba di lokasi nahas sebuah pesawat jet yang membawa Ketua Turus Am Angkatan Tentera Libya, Mohamed Ali Ahmed Al-Haddad, berhampiran Kampung Kesikkavak, Turkiye/Foto REUTERS

ANKARA, 24 Disember - Pihak berkuasa Turkiye menemukan perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan atau kotak hitam sebuah pesawat persendirian awal Rabu, yang terhempas di daerah Haymana, sejurus berlepas dari ibu negara Ankara.

Nahas terbabit mengorbankan Ketua Turus Am Angkatan Tentera Libya, Leftenan Jeneral Mohamed Ali Ahmed Al-Haddad bersama empat pembantunya.

Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya mengesahkan, perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan telah berjaya dikeluarkan dari pesawat tersebut.

"Proses pemeriksaan dan penilaian ke atas peranti ini telah dimulakan oleh pihak berkuasa berkaitan," jelasnya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Yerlikaya turut memaklumkan kesemua mayat mangsa masih berada di lokasi nahas, sambil menambah satu delegasi Libya seramai 22 orang telah tiba di Ankara.

Terdahulu, jet peribadi jenis Falcon 50 itu dilaporkan menghantar isyarat memohon pendaratan cemas beberapa minit selepas berlepas berikutan kegagalan sistem elektrik, sebelum terputus hubungan.

Ketika kejadian, pesawat yang membawa lapan penumpang termasuk tiga anak kapal itu, dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Tripoli, selepas mengadakan perbincangan bersama Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler serta rakan sejawatannya dari Turkiye, Selcuk Bayraktaroglu di Ankara.- AFP

EZA YUSMAWATI YAACOP