fb fb fb fb fb

China bantah rancangan AS mengenakan tarif ke atas import semikonduktor

Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian/REUTERS

BEIJING, 24 Disember- China pada Rabu menyatakan bantahan berhubung perkara yang disifatkan sebagai “penggunaan tarif secara sewenang-wenangnya” dan “penindasan tidak munasabah” oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap industri China.

Ini susulan rancangan Washington untuk mengenakan tarif ke atas import semikonduktor dari China.

Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian berkata Beijing menggesa AS membetulkan "amalan yang salah" itu dan memberi amaran China akan mengambil langkah bagi melindungi hak serta kepentingan sahnya sekiranya AS bertegas meneruskan tindakan berkenaan.

Kenyataan itu dibuat pada sidang media berkala kementerian berkenaan.

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Selasa memaklumkan bahawa pihaknya akan mengenakan tarif ke atas import semikonduktor China berhubung dakwaan usaha “tidak munasabah” Beijing untuk menguasai industri cip, namun pelaksanaannya ditangguhkan sehingga Jun 2027.

Menurut pemfailan berkenaan, kadar tarif itu akan diumumkan sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal.

Langkah tersebut susulan siasatan selama setahun di bawah Seksyen 301 berkaitan amalan perdagangan tidak adil terhadap eksport cip “legasi” atau teknologi lama China ke AS, yang dilancarkan semasa pentadbiran bekas Presiden Joe Biden. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM