ISTANBUL, 24 Mac- Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Isnin menyatakan kesediaannya untuk memajukan hubungan Ankara dengan negara Eropah, sambil menegaskan bahawa Eropah tidak boleh memastikan keselamatannya tanpa Turkiye.
“Perdebatan hangat dalam beberapa minggu lepas menunjukkan bahawa keselamatan Eropah tanpa Turkiye tidak akan tercapai,” lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan Erdogan selepas mesyuarat Kabinet di Ankara.
“Keperluan Eropah terhadap negara kita mula diakui secara terbuka, bukan sahaja dari segi keselamatan tetapi juga dalam pelbagai bidang, dari ekonomi hingga diplomasi dan dari perdagangan hingga kehidupan sosial.”
“Turkiye sedia untuk memajukan hubungan dengan negara Eropah dan Kesatuan Eropah (EU) dalam rangka kepentingan bersama dan saling menghormati,” tambahnya.- BERNAMA-ANADOLU