GAZA, 25 Mac- Empat orang awam Palestin terbunuh manakala beberapa yang lain cedera akibat serangan udara Israel di bandar Khan Yunis, selatan Gaza pada petang Isnin.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), wartawan WAFA melaporkan bahawa pesawat perang Israel mengebom sebuah rumah milik keluarga al-Najjar di kawasan Qizan al-Najjar sehingga mengakibatkan empat mangsa berkenaan terbunuh.
"Mangsa yang cedera, termasuk kanak-kanak dibawa ke Hospital Perubatan Nasser di bandar tersebut," lapor WAFA.
Sementara itu, pesawat perang Israel melakukan serangan udara yang menyasarkan sebuah rumah di kawasan pusat bandar Khan Yunis, menyebabkan seorang awam terbunuh.
Serangan udara Israel turut menyasarkan khemah-khemah pelarian di kawasan Batn as-Sameen, yang mengakibatkan beberapa orang cedera.
Sumber perubatan mengumumkan bahawa serangan udara Israel yang berterusan di Gaza telah menyebabkan lebih 50 orang awam terbunuh sejak awal pagi Isnin.
Serangan bom Israel turut mengakibatkan kematian wartawan Al Jazeera Mubasher, Hussam Shabat dan wartawan Palestine Today TV, Mohammad Mansour.
Israel menyambung semula serangannya ke atas Gaza pada minggu lalu dengan melancarkan gelombang serangan udara berdarah di seluruh Gaza yang mengakibatkan ratusan orang Palestin terbunuh, termasuk lebih 100 kanak-kanak.
Angka kematian telah mencecah 506 orang dengan 909 yang lain cedera, menurut sumber perubatan.
Pasukan kecemasan sedang berusaha untuk menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan.
Israel telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas Gaza sejak Oktober 2023, mengakibatkan 50,082 orang Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta 113,408 orang lagi mengalami kecederaan.
Selain itu, sekurang-kurangnya 10,000 orang hilang tanpa jejak, dipercayai telah terbunuh di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh Gaza.
Serangan Israel juga telah menyebabkan pemindahan paksa hampir dua juta orang dari seluruh Gaza, dengan majoriti pelarian dipaksa berpindah ke bandar Rafah.