BERLIN, 24 Mac-Jerman pada Isnin mengutuk pemenjaraan Datuk Bandar Istanbul dan pemimpin pembangkang Turki, Ekrem Imamoglu.
Negara berkenaan turut melahirkan kebimbangan terhadap pemenjaraan Imamoglu.
"Penahanan dan penggantungan Datuk Bandar Istanbul adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima.
"Perkara ini mesti dijelaskan dengan cepat dan secara telus," kata jurucakap Canselor Olaf Scholz, Steffen Hebestreit, dalam satu sidang akhbar.
"Kami sedang memerhati perkembangan di Turki dengan kebimbangan yang besar," jelas Hebestreit.
Beliau menambah bahawa Jerman telah melakukan "usaha besar" untuk mempromosikan hubungan baik antara Turkiye dan Kesatuan Eropah (EU).
"Perkembangan terkini ini merupakan petanda buruk bagi demokrasi di Turkiye serta bagi masa depan hubungan ini," katanya.
Seorang jurucakap Kementerian Luar Jerman mengesahkan bahawa pegawai-pegawai Jerman telah mengadakan perbincangan dengan duta Turkiye di Berlin.
"Saya boleh mengesahkan... bahawa satu pertemuan dengan duta Turkiye telah berlangsung pagi ini," kata Christian Wagner dalam sidang akhbar tersebut.
Terdahulu, pihak berkuasa Turki menahan Imamoglu pada Rabu atas tuduhan "rasuah" dan "menyokong organisasi pengganas".
Pada Ahad, beliau telah dilucutkan jawatannya sebagai Datuk Bandar dan dipenjarakan.
Imamoglu dilihat sebagai satu-satunya ahli politik yang berpotensi mengalahkan Presiden Turki yang telah lama berkuasa, Recep Tayyip Erdogan.
Penahanannya berlaku hanya beberapa hari sebelum beliau dijadualkan dinamakan sebagai calon parti pembangkang CHP dalam pilihan raya presiden 2028.-AFP.