DAMSYIK, 22 Disember -Turkiye mendakwa Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diterajui kumpulan Kurdish masih belum menunjukkan kesediaan untuk berintegrasi dengan angkatan bersenjata kerajaan Syria, meskipun tempoh akhir persetujuan itu semakin hampir.
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan berkata, integrasi SDF penting bagi memastikan kestabilan, kedaulatan dan masa depan Syria yang aman.
Jelas beliau, penyertaan itu perlu dilaksanakan secara teratur dan tidak berlarutan sehingga menjadi penghalang kepada usaha pemulihan negara berkenaan.
“SDF sepatutnya menjadi sebahagian daripada kerajaan Syria dan tidak terus menjadi faktor yang menjejaskan kestabilan negara,” katanya pada sidang media di sini.
Menurut Fidan, hasil perbincangan bersama pihak Syria menunjukkan kumpulan itu belum memperlihatkan kemajuan bermakna ke arah pelaksanaan persetujuan tersebut.
Beliau turut mendakwa hubungan tertentu SDF dengan Israel menyukarkan rundingan yang sedang berlangsung dengan Damsyik.
Dalam perkembangan sama, Menteri Luar Syria, Asaad al-Shibani mengesahkan kerajaan Syria tidak melihat sebarang langkah serius daripada SDF untuk melaksanakan perjanjian integrasi.
“Setakat ini, kami tidak melihat inisiatif atau kesungguhan yang jelas daripada SDF.
Sebaliknya, proses itu terus tertangguh,” katanya.
Turki sebelum ini memberi amaran akan mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya SDF gagal mematuhi persetujuan berkenaan.
Ankara pula menganggap kehadiran kumpulan itu di utara Syria sebagai ancaman keselamatan.
Setakat ini, tiada maklum balas rasmi daripada SDF atau Israel berhubung dakwaan tersebut. -REUTERS