RAMALLAH, 23 Disember -Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis menjadi pemimpin Eropah pertama melawat Ramallah selepas pengumuman dan pemeteraian pelan damai 20 perkara bagi Gaza.
Beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam satu lawatan rasmi yang disifatkan signifikan dari sudut diplomasi serantau.
Mitsotakis berkata, pelan damai berkenaan dilihat sebagai satu kerangka yang realistik dan boleh dilaksanakan bagi menangani keperluan mendesak di Gaza.
“Saya merupakan Perdana Menteri Eropah pertama yang melawat Ramallah selepas pengumuman dan pemeteraian pelan damai 20 perkara untuk Gaza.
Saya bersetuju bahawa pelan ini merupakan satu rangka kerja yang mempunyai kredibiliti dan boleh dilaksanakan,” katanya.
Lawatan itu dimulakan dengan sambutan hormat sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan tertutup.
Pelan damai 20 perkara itu diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada September lalu, yang merangkumi gencatan senjata awal serta langkah ke arah penyelesaian lebih menyeluruh.
Pelan berkenaan antara lain menggesa Hamas melucutkan senjata dan tidak lagi mentadbir Gaza, selain pengunduran Israel dari wilayah tersebut.
Bagaimanapun, pelan itu masih belum dipersetujui sepenuhnya oleh semua pihak berkepentingan.
Dalam lawatan sama, Mitsotakis dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Baitulmaqdis, selain menghadiri mesyuarat tiga hala bersama Presiden Cyprus, Nikos Christodoulides. -REUTERS