NIGER, 22 Disember -Seramai 130 pelajar sekolah di Nigeria yang diculik dalam satu kejadian penculikan besar-besaran bulan lepas selamat dibebaskan.
Pembebasan itu, sekali gus menamatkan krisis yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa.
Kumpulan terakhir kanak-kanak berkenaan tiba di Kompleks Kerajaan Negeri Niger menaiki bas, selepas dibebaskan pihak berkuasa pada Ahad.
Para pelajar kemudian dibawa ke sebuah khemah khas untuk sesi pertemuan bersama pegawai kerajaan negeri.
Kesemua mereka merupakan sebahagian daripada lebih 300 pelajar dan 12 kakitangan Sekolah Katolik St. Mary di Papiri yang diculik pada 21 November lalu.
Daripada jumlah itu, 50 pelajar berjaya melarikan diri sejurus selepas kejadian, manakala 100 lagi dibebaskan pada 8 Disember lalu.
Seorang guru yang turut dibebaskan dilihat mengalami kecederaan pada kaki, dipercayai akibat pergelutan dalam tempoh tahanan.
Kerajaan Negeri Niger dalam satu kenyataan memaklumkan, keutamaan kini adalah keselamatan serta pemulihan fizikal dan emosi semua mangsa.
“Kami bersyukur semua kanak-kanak ini akhirnya selamat.
Fokus kami sekarang adalah memastikan mereka menerima rawatan, sokongan psikologi dan dapat kembali kepada kehidupan normal,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan sama ada pembebasan dilakukan menerusi rundingan, bayaran tebusan atau operasi keselamatan.
Kejadian penculikan ini sekali lagi menyorot isu keselamatan yang semakin meruncing di utara Nigeria, apabila kumpulan bersenjata kerap menyasarkan sekolah untuk mendapatkan wang tebusan.
Penculikan pelajar sekolah di Nigeria meningkat ketara sejak insiden penculikan 276 pelajar perempuan oleh kumpulan Boko Haram di Chibok pada 2014. -REUTERS