BRUSSELS, 22 Disember- Suruhanjaya Eropah (EU) menyifatkan keputusan China mengenakan duti sementara antara 21.9 hingga 42.7 peratus ke atas beberapa produk tenusu dari Kesatuan Eropah (EU) sebagai tidak berasas dan tidak wajar.
Jurucakap Suruhanjaya Eropah, Olof Gill berkata penilaian pihaknya mendapati siasatan yang dijalankan China dibuat berasaskan dakwaan yang boleh dipersoalkan serta bukti yang tidak mencukupi.
Beliau menegaskan langkah berkenaan, yang akan berkuat kuasa mulai 23 Disember, tidak mempunyai justifikasi kukuh dan bertentangan dengan prinsip perdagangan adil.
Keputusan diumumkan pada Isnin itu bersifat sementara dan masih boleh dipinda apabila keputusan muktamad dibuat, dengan China sebelum ini menurunkan kadar duti sementara ke atas import daging babi dalam keputusan akhir minggu lalu.
Ketegangan perdagangan antara China dan EU mula memuncak pada 2023 selepas Suruhanjaya Eropah melancarkan siasatan anti subsidi terhadap kenderaan elektrik buatan China.
Sejak itu, Beijing telah melaksanakan siasatan dan mengenakan tarif ke atas beberapa barangan dari EU termasuk arak, daging babi dan terbaharu produk tenusu, langkah yang dilihat sebagai tindakan balas terhadap dasar perdagangan EU. -REUTERS