fb fb fb fb fb

Konflik sempadan: Thailand tuntut "gencatan senjata sebenar", komitmen tinggi Kemboja

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow/REUTERS

KUALA LUMPUR, 22 Disember- Pegawai pertahanan Thailand dan Kemboja dijadual mengadakan pertemuan pada 24 Disember ini bagi membincangkan kemungkinan menyambung semula gencatan senjata, ketika pertempuran di sempadan kedua-dua negara memasuki minggu ketiga.

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow berkata keputusan itu dicapai pada Isnin semasa mesyuarat khas menteri-menteri luar ASEAN di Kuala Lumpur, yang bertujuan menghidupkan semula gencatan senjata sebelum ini.

Gencatan berkenaan pada asalnya diusahakan oleh Pengerusi ASEAN, Malaysia bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, susulan pertempuran terdahulu pada Julai lalu.

Menurut Sihasak, kedua-dua negara bersetuju mengadakan rundingan menerusi Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) iaitu mekanisme dua hala sedia ada, dengan Thailand mencadangkan pertemuan di kawasan sempadan di wilayah Chanthaburi.

Beliau menegaskan Thailand mahukan satu “gencatan senjata sebenar” yang disokong komitmen kukuh dari Kemboja serta pelan pelaksanaan terperinci termasuk keperluan melaksanakan kerja-kerja pembersihan periuk api.

Sihasak berkata gencatan senjata tidak boleh dicapai sekadar melalui pengumuman, sebaliknya memerlukan perbincangan mendalam mengenai langkah pelaksanaan dan pematuhan di lapangan.

Mesyuarat ASEAN itu diadakan selepas dua minggu pertempuran sengit yang mengorbankan sekurang-kurangnya 80 orang dan menyebabkan lebih setengah juta penduduk dipindahkan, dengan Sihasak menegaskan keputusan menyambung rundingan dibuat secara dua hala tanpa penglibatan AS atau China. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM