fb fb fb fb fb

CCTV rakam Israel bunuh remaja Palestin di Tebing Barat

Rakaman CCTV anggota tentera Israel menembak mati remaja Palestin/REUTERS

TEBING BARAT, 22 Disember- Seorang remaja Palestin ditembak mati rejim Zionis dalam satu insiden pada Sabtu (20 Disember) di Tebing Barat yang diduduki dan insiden tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran.

Pihak berkuasa Palestin mengenal pasti mangsa sebagai Rayyan Mohammad Abu Mualla, 16 tahun yang ditembak mati pada Sabtu lalu di bandar Qabatiya, Tebing Barat utara, ketika satu serbuan oleh tentera Israel dijalankan di kawasan itu.

Jurucakap tentera Israel berkata insiden tersebut kini dalam siasatan sambil mendakwa ia adalah tindak balas ke atas remaja tersebut yang memulakan provokasi terhadap tentera Israel.

Bagaimanapun, rakaman CCTV yang diperoleh Reuters tidak menunjukkan mangsa sedang membaling atau memegang batu ketika ditembak.

Rakaman itu menunjukkan dua anggota tentera Israel berada di satu sudut jalan pada waktu malam, sebelum seorang individu dilihat berjalan menghampiri kawasan berkenaan dan ditembak oleh salah seorang anggota, menyebabkan mangsa rebah ke atas jalan.

Rakaman tersebut, yang disahkan lokasi dan tarikhnya oleh Reuters, turut menunjukkan jasad mangsa dibawa pergi oleh tentera Israel kira-kira 30 minit selepas kejadian.

Namun, pihak tentera tidak memberi maklum balas lanjut terhadap permintaan komen.

Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan sejak Januari lalu, sekurang-kurangnya 53 kanak-kanak Palestin terbunuh akibat tindakan tentera Israel susulan peningkatan operasi ketenteraan di Tebing Barat utara. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM