ISTANBUL, 31 Oktober – Turkiye akan menjadi tuan rumah mesyuarat menteri luar negara Islam pada Isnin ini bagi membincangkan pelan damai Amerika Syarikat untuk Gaza, kata Menteri Luar Turki, Hakan Fidan.
Fidan berkata mesyuarat di Istanbul itu bertujuan menilai kemajuan rundingan sedia ada serta membincangkan langkah seterusnya yang boleh diambil bersama.
Antara negara yang dijemput termasuk Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kesemua menteri luar berkenaan sebelum ini pernah bertemu Presiden AS, Donald Trump, di New York pada 23 September lalu semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Fidan, perbincangan itu penting bagi mengenal pasti halangan terhadap pelaksanaan pelan damai berkenaan serta menentukan pendekatan bersama dengan negara Barat dan Washington.
Beliau menegaskan sokongan antarabangsa amat diperlukan untuk memastikan usaha damai itu berjaya.
Dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Estonia, Margus Tsahkna, Fidan turut menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sedang mencari alasan untuk melanggar gencatan senjata dan meneruskan serangan terhadap Gaza.
Turkiye sebelum ini menghantar pasukan bantuan bencana seramai 81 anggota untuk membantu operasi mencari dan menyelamat di Gaza, namun masih menunggu kelulusan Israel untuk memasuki wilayah Palestin itu. - AFP