GYEONGJU, 31 Oktober – Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi, berkata beliau menyuarakan “kebimbangan serius” terhadap tindakan China di Laut China Selatan, serta situasi Hong Kong dan Xinjiang, ketika pertemuan sulungnya dengan Presiden Xi Jinping pada Jumaat.
Pertemuan bersemuka itu diadakan di Korea Selatan bersempena Sidang Kemuncak APEC, dan menandakan kali pertama kedua-dua pemimpin bertemu sejak Takaichi, dilantik sebagai perdana menteri.
Menurut media China, Xi berharap kerajaan pimpinan Takaichi dapat mempunyai “pemahaman yang tepat” terhadap negaranya serta mengekalkan arah hubungan yang aman dan saling bekerjasama.
Takaichi berkata beliau menegaskan kepentingan hubungan strategik dan saling menguntungkan antara Jepun dan China, namun turut menekankan pentingnya dialog terus dan terbuka dalam menangani isu-isu sensitif.
“Kami menyatakan kebimbangan serius terhadap tindakan di Laut China Selatan, serta situasi di Hong Kong dan wilayah autonomi Uiyghur Xinjiang,” katanya kepada media.
Selain itu, Takaichi turut membangkitkan isu kepulauan Senkaku di Laut China Timur, kawalan eksport barangan termasuk logam nadir bumi, dan menyeru pembebasan rakyat Jepun yang ditahan di China serta jaminan keselamatan ekspatriat Jepun di negara itu.
Beliau turut menyentuh isu Taiwan, dengan menegaskan bahawa kestabilan rentas Selat Taiwan penting bagi keselamatan serantau.
Xi pula menekankan supaya Jepun terus mematuhi prinsip-prinsip yang dipersetujui dalam dokumen bersama dua hala, termasuk isu sejarah peperangan, yang kekal sensitif berikutan lawatan pemimpin Jepun ke kuil Yasukuni yang menghormati wira perang, termasuk penjenayah perang.
Takaichi, bekas pengikut rapat bekas Perdana Menteri kanan Shinzo Abe, kini mengetuai Jepun yang semakin memperkukuh kerjasama keselamatan dengan Amerika Syarikat serta meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara. - AFP