MANAMA, 31 Oktober - Petugas kemanusiaan kini semakin menjadi sasaran serangan di Gaza dan Sudan, selepas lima sukarelawan Bulan Sabit Merah terbunuh di Sudan minggu ini, menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Pengarah Agung ICRC, Pierre Krahenbuhl berkata corak keganasan terhadap pasukan bantuan semakin membimbangkan, terutama di dua kawasan bergolak itu yang menyaksikan pelanggaran jelas terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Kita sedang melihat corak keganasan terhadap petugas kemanusiaan di Sudan dan Gaza yang amat mengerikan. Ia menunjukkan semakin terhakisnya rasa hormat terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya kepada AFP sebelum Sidang Dialog Manama di Bahrain, Jumaat.
ICRC sebelum ini memaklumkan lima sukarelawan Bulan Sabit Merah Sudan terbunuh di wilayah Kordofan Utara, salah satu medan utama perang saudara yang meletus sejak April 2023.
Krahenbuhl turut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan lebih 460 orang terbunuh di sebuah hospital di El-Fasher — bandar yang baru dikuasai pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) selepas dikepung lebih 18 bulan.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kemusnahan di Gaza sebagai “antara yang paling dahsyat” pernah disaksikannya sepanjang tiga dekad bertugas dalam misi kemanusiaan, sambil menegaskan bantuan yang sampai ke wilayah itu masih jauh daripada mencukupi.
“Keperluan rakyat Gaza amat besar. Apa yang kita mampu lakukan sekarang hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang mereka perlukan,” katanya.
Krahenbuhl turut mengecam keputusan Israel yang melarang ICRC melawat tahanan Palestin di bawah undang-undang penahanan tanpa had, sambil menegaskan larangan itu tiada kaitan dengan isu keselamatan negara seperti didakwa. - AFP