fb fb fb fb fb

Turkiye, AS bincangkan konflik Ukraine, Gaza - Menteri Luar

Hakan Fidan/REUTERS

ANKARA, 9 Mac- Pegawai Turkiye dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan perbincangan menyeluruh mengenai peperangan di Ukraine dan Gaza serta pelbagai isu dua hala dalam mesyuarat di Washington, kata Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan.

Sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memulakan mesyuarat strategik pada Khamis untuk membincangkan usaha melangkaui perselisihan dasar selain meningkatkan kerjasama dalam bidang lain.

Hubungan antara sekutu tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan perselisihan mengenai pelbagai isu. Perkara itu merupakan momentum berikutan persetujuan Ankara terhadap tawaran Sweden untuk menyertai NATO.

Fidan berkata pegawai dari negara-negara itu mengadakan beberapa pusingan perbincangan mengenai Syria, Ukraine, Gaza, kerjasama industri pertahanan, tenaga, dan memerangi keganasan.

"Pada masa ini terdapat banyak perkara yang telah dicapai selain agenda yang lebih positif. Kami mempunyai peluang untuk meneruskan laluan kami dengan membuka lembaran baharu," katanya kepada media Turkiye di Washington.

"Sambil menguruskan masalah yang kita hadapi sekarang, adalah penting untuk turut menyedari potensi serta peluang yang boleh dicipta oleh kedua-dua negara," katanya.

Fidan berkata beliau mengulangi pandangan Turkiye bahawa gencatan senjata segera dan berkekalan perlu dilakukan di Gaza serta menekankan keperluan untuk meredakan konflik kemanusiaan selain membuka jalan penyelesaian kedua-dua negara.

Beliau juga membincangkan cara untuk menamatkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dengan rakan sejawatan AS Antony Blinken dan Penasihat Keselamatan Negara AS Jake Sullivan. Sudah tiba masanya untuk membincangkan laluan ke arah menamatkan perang tetapi Turkiye tidak melihat kesanggupan ini dari Kiev dan Moscow.

"Kami memerlukan asas untuk menghentikan perang ini, dan dialog untuk mencegah krisis menjadi lebih buruk," kata Fidan.

Pihak sekutu masih berhubung berkenaan pelbagai isu, seperti perolehan sistem pertahanan S-400 Rusia dan sekatan AS yang membawa kepada penyingkiran Turki daripada program jet pejuang F-35.

Turkiye juga prihatin terhadap sokongan AS ke atas puak Kurdish di Syria, yang Ankara anggap pengganas.

Fidan berkata Turkiye mengekalkan kedudukannya di Syria dan terbuka untuk membincangkan perkara itu tetapi Washington perlu "berfikiran terbuka".- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI