fb fb fb fb fb

Parlimen Greece lulus bangun universiti swasta asing

Penunjuk perasaan sebelum pengundian rang undang-undang untuk operasi universiti swasta asing/REUTERS

ATHENS, 9 Mac- Parlimen Greece meluluskan rang undang-undang iaitu membenarkan universiti swasta asing untuk menubuhkan cawangan di negara itu, namun perkara itu mendapat bantahan dalam kalangan pelajar kerana ia menjejaskan nilai ijazah daripada universiti awam tempatan.

Undang-undang itu diluluskan oleh 159 ahli parlimen daripada 300 kerusi.

Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis berkata ia akan membantu berpuluh-puluh ribu pelajar negara itu ke universiti di luar negara selain berusaha memulihkan ekonomi daripada krisis kewangan selama sedekad.

Rang undang-undang itu juga akan membantu menyelaraskan Greece dengan seluruh Kesatuan Eropah dan meningkatkan persaingan dalam pendidikan tinggi, katanya dalam ucapan kepada penggubal undang-undang.

Namun pelajar telah melakukan protes secara aman selama berminggu-minggu untuk menentang rang undang-undang itu. Ribuan pelajar berhimpun di luar Parlimen sambil memegang sepanduk.

Sekumpulan penunjuk perasaan melarikan diri daripada kumpulan utama melemparkan bom petrol ke arah polis, yang bertindak balas dengan gas pemedih mata.

"Kami takut ... sekiranya kami berjaya menamatkan pengajian kami tidak akan dapat pekerjaan di mana-mana sahaja," kata Stratos Katselis, 25. "Tiada orang muda hari ini boleh membuat apa-apa rancangan untuk masa depan, semuanya jalan buntu."

Rang undang-undang universiti adalah sebahagian daripada agenda reformasi kerajaan.

Greece membelanjakan tiga peratus hingga empat peratus daripada keluaran ekonomi tahunannya untuk pendidikan. Mitsotakis, yang memenangi penggal kedua pada Jun tahun lalu berkata, rang undang-undang itu menetapkan peningkatan pembiayaan untuk universiti.-REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI