BEIJING, 9 Mac- China masih menghadapi isu pekerjaan yang masih belum reda dalam keadaan ekonomi yang semakin perlahan, kata Menteri Sumber Manusia pada Sabtu.
Pasaran pekerjaan menyaksikan permulaan yang baik tahun ini, terutamanya dalam segmen kecerdasan buatan dan data besar, kata Menteri Sumber Manusia Wang Xiaoping, sambil menambah bahawa 32,000 karnival pekerjaan telah diadakan setakat ini.
Namun, pihak berkuasa akan mengukuhkan sokongan dasar untuk menambah baik pekerjaan dalam kalangan belia dan membantu firma swasta kecil, kata Wang dalam sidang akhbar di luar mesyuarat tahunan Parlimen di Beijing. Kementerian Pendidikan China meramalkan 11.79 juta graduan kolej tahun ini.
Pada permulaan sidang Parlimen minggu ini, kerajaan mengumumkan pertumbuhan ekonomi dan dijangka mengembang "sekitar 5%" pada 2024. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China meningkat 5.2 peratus tahun lepas. Lebih satu daripada lima penduduk China berumur 16 hingga 24 tahun menganggur pada Jun 2023.
Pihak berkuasa tempatan berada bawah tekanan untuk mewujudkan pekerjaan terutamanya semakin ramai graduan kolej mahu mendapatkan pekerjaan dalam kumpulan pekerjaan kolar putih. Namun sektor itu semakin mengecil diikuti keadaan ekonomi yang lemah selepas pandemik COVID-19.
China cuba beralih ke pekerjaan vokasional dan teknikal ketika ekonomi kedua terbesar dunia itu mahu memantapkan sektor pembuatannya kerana ingin mengurangkan kebergantungan kepada Barat.
Tetapi kekurangan bakat mahir menjadi halangan bagi sektor ini. Wang berkata China perlu menarik minat golongan muda untuk memperoleh kemahiran teknikal dan bekerja di kilang.
Tahun ini, China menyasarkan untuk mewujudkan lebih daripada 12 juta pekerjaan bandar baharu dan mengekalkan kadar pengangguran bandar. Data rasmi tahun lepas menunjukkan sebanyak 12.44 juta pekerjaan bandar ditambah, dengan pengangguran bandar pada purata 5.2 peratus.- REUTERS