ANTANANARIVO, 9 Oktober - Pasukan keselamatan Madagascar melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah bagi menyuraikan penunjuk perasaan pada Khamis, ketika demonstrasi antikerajaan memasuki minggu ketiga.
Penunjuk perasaan dilapor mengadakan sekatan jalan, melempar objek serta menggunakan lastik ke arah anggota keselamatan yang lengkap dengan peralatan kawalan awam dan kenderaan.
Gerakan itu diinspirasikan oleh protes 'Gen Z' di Kenya dan Nepal, sekali gus menjadi cabaran terbesar kepada pentadbiran Presiden Andry Rajoelina sejak beliau dipilih semula pada 2023.
Protes berkenaan mencerminkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kemiskinan melampau dan rasuah peringkat tinggi.
Bagi meredakan keadaan, Rajoelina pada minggu lalu memecat kabinetnya, melantik Perdana Menteri baharu dan mengumumkan rundingan nasional yang bermula pada Rabu dengan penyertaan pemimpin agama, pelajar, belia dan wakil masyarakat.
Bagaimanapun, penunjuk perasaan menolak tawaran itu dan menuduh kerajaan menindas rakyat selepas dua minggu demonstrasi berterusan.
Protes yang pada awalnya tercetus akibat masalah bekalan air dan elektrik kini berkembang dengan tuntutan supaya Rajoelina berundur, memohon maaf kepada rakyat serta membubarkan senat dan suruhanjaya pilihan raya. -REUTERS