fb fb fb fb fb

Tunjuk perasaan di Bolivia, tuntut pembebasan pemimpin pembangkang

FOTO REUTERS

SANTA CRUZ, 12 Januari- Ribuan rakyat berarak di bandar-bandar di Bolivia menuntut pembebasan seorang lawan utama kepada Presiden, Luis Arce.

Luis Fernando Camacho, gabenor konservatif wilayah ekonomi utama negara itu, Santa Cruz ditahan pada akhir Disember atas dakwaan keganasan.

Tuduhan lain termasuklah memainkan peranan dalam peletakan jawatan presiden berhaluan kiri, Evo Morales pada tahun 2019.

Penyokong Camacho dilihat berarak di La Paz, Santa Cruz, Sucre dan empat bandar besar lain.

Camacho, 43 tahun mengetuai blok pembangkang kedua terbesar Bolivia di kongres dan berada di tempat ketiga dalam pilihan raya presiden pada tahun 2020.

Di Santa Cruz, Romulo Calvo presiden masyarakat sivil dan kumpulan perniagaan yang mengadakan protes, berkata Arce sedang menyekat perbezaan pendapat di Bolivia.

Camacho ditahan pada 28 Disember dan dipindahkan ke La Paz dengan hakim mengarahkan dia ditahan selama empat bulan sebagai tahanan sebelum perbicaraan.

Dia telah disiasat untuk peranannya dalam serangan dan protes yang kadang kala ganas dalam tahun 2019.

Ia dicetuskan oleh pemilihan Morales dalam pilihan raya yang meragukan untuk penggal keempat.

Morales akhirnya meletak jawatan akibat tekanan dan kehilangan sokongan tentera.

Camacho sering kali menafikan penglibatannya dalam rampasan kuasa terhadap Morales.


(FOTO REUTERS)

Dalam perarakan pada Selasa di La Paz, penunjuk perasaan anti kerajaan bertempur dengan penyokong Arce yang membaling batu dan mercun.

Tiada kecederaan dilaporkan.-REUTERS

 

Media Baharu