fb fb fb fb fb

Isu Laut China Selatan: Indonesia jaga kedaulatan dan kerjasama berbanding konflik-Prabowo

Foto REUTERS

JAKARTA, 14 November -Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata akan "sentiasa menjaga kedaulatan negara dan bekerjasama berbanding konflik dalam isu Laut China Selatan. Kenyataan Prabowo itu hadir semasa lawatannya di Washington pada Rabu.

Ia selepas Kementerian Luar Negeri negara itu menegaskan bahawa Indonesia tidak mengiktiraf tuntutan China ke atas Laut China Selatan walaupun menandatangani perjanjian maritim dengan Beijing hujung minggu lalu.

Beijing telah lama bertelagah dengan negara-negara Asia Tenggara mengenai Laut China Selatan, yang dituntut hampir sepenuhnya, berdasarkan "Nine dash line" pada peta mereka yang memotong zon ekonomi eksklusif (EEZ) beberapa negara.

"Kami menghormati semua kuasa, tetapi kami akan sentiasa menjaga kedaulatan negara.

"Namun, saya memilih untuk sentiasa mencari peluang kerjasama," kata Prabowo, yang berulang kali menyatakan beliau akan menjalankan dasar luar yang tidak berpihak.

"Kerjasama lebih baik daripada konflik," katanya kepada wartawan.

Prabowo, yang sedang dalam lawatan pertamanya sejak memegang jawatan Presiden bulan lalu, bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping, di Beijing pada hujung minggu.

Perjanjian pembangunan maritim yang ditandatangani oleh China dan Indonesia menyatakan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persefahaman bersama "mengenai pembangunan bersama di kawasan tuntutan bertindih".

Klausa itu menimbulkan kebimbangan di Indonesia, dengan penganalisis mengatakan ia boleh ditafsirkan sebagai perubahan dalam pendirian lama Jakarta sebagai negara yang tidak menuntut di Laut China Selatan dan berisiko menjejaskan hak kedaulatan Indonesia untuk mengeksploitasi sumber dalam EEZnya.

Prabowo tidak merujuk secara langsung kepada kenyataan bersama itu dalam ulasannya kepada wartawan, tetapi menyatakan bahawa beliau telah membincangkan isu Laut China Selatan dengan Presiden Joe Biden dalam pertemuan pada hari sebelumnya.

Prabowo juga dijadualkan mengunjungi Peru untuk sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Brazil untuk sidang kemuncak G20. -REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD