KHARKIV, 12 Januari- Rusia terus melakukan serangan ke atas bandar Kharkiv beberapa jam selepas lawatan mengejut oleh Menteri Luar Jerman bersama rakan sejawatnya di Ukraine.
Annalena Baerbock berikrar untuk meneruskan sokongan Jerman ke atas Kiev dalam lawatan mengejut itu.
Namun diplomat tertinggi Ukraine, Dmytro Kuleba berkata keengganan Berlin untuk menghantar kereta kebal tempur negaranya telah menyebabkan kehilangan nyawa.
Canselor Jerman, Olaf Scholz baru-baru ini bersetuju untuk membekalkan Ukraine dengan kenderaan tempur Marder yang telah lama diminta oleh Kiev.
Namun, Berlin sehingga kini menolak untuk membekalkan kereta kebal yang lebih maju, Leopard.
Kuleba yang mengiringi Baerbock ketika lawatan, sekali lagi meminta Jerman menghantarnya.
(FOTO REUTERS)
Menurutnya, semakin lama masa diambil untuk membuat keputusan, lebih ramai orang akan mati.
Kharkiv diserang hebat ketika perang dengan pasukan barisan hadapan berpindah ke bahagian timur sejak tentera Ukraine berjaya menawan kembali wilayah itu dari tentera Rusia.
Gabenor wilayah, Oleg Synegubov memberi amaran kepada penduduk untuk kekal berlindung.
Baerbock yang menjadi pegawai tertinggi Barat yang melawat Kharkiv berikrar untuk memberikan bantuan lanjut kepada Kiev.
Beliau menekankan akan terus membekalkan senjata yang diperlukan oleh Ukraine untuk membebaskan penduduknya yang masih menderita akibat keganasan penjajahan Rusia.
Baerbock membawa bersamanya penjana kuasa elektrik dan bantuan kewangan berjumlah 40 juta euro.-REUTERS