TIGRAY, 12 Januari- Pemberontak Tigray mula menyerahkan senjata berat mereka sebagai satu bahagian penting dalam perjanjian yang ditandatangani lebih dua bulan lalu untuk menamatkan konflik maut di utara Ethiopia.
Salah satu syarat perjanjian damai yang ditandatangani pada 2 November termasuklah melucutkan senjata kumpulan pemberontak, memulihkan kuasa pihak berkuasa di Tigray dan membuka semula akses dan komunikasi ke wilayah itu, yang telah terputus sejak pertengahan 2021.
Pertempuran tercetus pada November 2020 apabila Perdana Menteri, Abiy Ahmed mengerahkan tentera untuk menahan peminpin Tigray yang mencabar kuasanya selama berbulan-bulan dan didakwa menyerang pangkalan tentera persekutuan.
Jurucakap Barisan Hadapan Pembebasan Rakyat Tigray, Getachew Reda menyatakan mereka komited terhadap perjanjian yang dibuat antara kerajaan dan pemberontak Tigray.
Pada masa yang sama, tentera luar negara dan bukan kerajaan berundur dari Tigray.
Eritrea telah menyokong tentera Ethiopia dalam wilayah itu namun tidak menyertai rundingan Pretoria.
(Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed/REUTERS)
Delegasi kerajaan Ethiopia termasuk penasihat keselamatan negara kepada Perdana Menteri, Redwan Hussein dan beberapa orang menteri melawat ibu negeri Tigray pada 26 Disember sebagai satu langkah utama dalam proses damai.
Beberapa hari selepas itu, pasukan polis persekutuan Ethiopia memasuki Mekele buat pertama kali dalam tempoh 18 bulan.-REUTERS