MANILA, 14 November- Filipina telah mengeluarkan amaran ribut tahap tertinggi dan memindahkan ribuan orang pada Khamis, apabila Taufan Usagi menghampiri kawasan utara negara itu, yang telah musnah akibat bencana.
Dengan kelajuan angin sehingga 185 kilometer sejam, Usagi dijangka melanda pulau utama Luzon sekitar pukul 0900 GMT atau lebih awal. Ia merupakan ribut kelima yang mengancam negara itu dalam tempoh tiga minggu.
Sebanyak 159 kematian direkodkan, susulan keadaan bencana serta mendorong Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memohon bantuan sebanyak $32.9 juta untuk kawasan yang paling terjejas.
Agensi cuaca negara berkata angin tersebut boleh menyebabkan kerosakan hampir keseluruhan kepada struktur bahan ringan, terutamanya di kawasan pesisir yang sangat terdedah dan kerosakan teruk pada bangunan yang biasanya dianggap risiko rendah.
Hujan lebat dan ombak pesisir pantai setinggi tiga meter yang berpotensi mengancam nyawa turut diramalkan selama dua hari, dengan amaran ribut dinaikkan ke tahap tertinggi pada skala lima.
Di wilayah Cagayan, kawasan yang dijangka berlakunya ribut, pasukan penyelamat bertungkus-lumus dalam cuaca hujan lebat untuk memindahkan penduduk di sepanjang pesisir pantai dan tebing sungai yang sudah melimpah.
"Semalam adalah pemindahan awal. Kini kami melakukan pemindahan paksa," kata pegawai bencana Edward Gaspar, kepada AFP melalui telefon, sambil menambah bahawa 1,404 penduduk berlindung di gimnasium perbandaran.
"Terdapat ramai lagi mangsa pemindahan di kampung-kampung berdekatan, tetapi kami belum sempat melawat dan mengira mereka," tambahnya.
Ketua Pertahanan Awam Cagayan, Rueli Rapsing, berkata beliau menjangkakan kerajaan tempatan akan memindahkan 40,000 orang ke tempat perlindungan, jumlah yang sama seperti pemindahan sebelum Taufan Yinxing yang melanda pantai utara Cagayan awal bulan ini.
Lebih 5,000 penduduk Cagayan masih berada di tempat perlindungan berikutan ribut sebelum ini kerana sungai Cagayan, yang terbesar di negara itu, melimpah akibat hujan lebat di beberapa daerah.
"Kami menjangkakan situasi ini berlarutan dalam beberapa hari akan datang, apabila Usagi membawa lebih banyak hujan, kata Rapsing kepada AFP.
Selepas Usagi, Ribut Tropika Man-yi juga diramalkan melanda kawasan utama penduduk Filipina di sekitar ibu kota Manila hujung minggu ini.
"Taufan berterusan. Sebaik sahaja rakyat cuba pulih, ribut tropika yang seterusnya sudah mengancam mereka lagi," kata Koordinator Penduduk dan Kemanusiaan UN Filipina, Gustavo Gonzalez.
"Dalam keadaan ini, keupayaan tindak balas semakin lemah dan bajet semakin berkurangan", katanya.
Kira-kira 20 ribut besar dan taufan melanda negara kepulauan atau sekitarnya setiap tahun, meragut nyawa puluhan orang dan menyebabkan jutaan orang hidup dalam kemiskinan berterusan.-AFP