BRASILLIA, 14 November -Seorang lelaki terbunuh selepas meletupkan diri di luar Mahkamah Agung Brazil selepas cuba memasuki bangunan itu pada Rabu, kata pihak berkuasa.
Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan keselamatan menjelang kunjungan pemimpin global dari G20, negara ekonomi utama.
Letupan tersebut berlaku lima hari sebelum sidang kemuncak G20 di Rio de Janeiro, diikuti dengan lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping, ke ibu negara Brasilia.
Letupan pertama berlaku pada petang Rabu di kawasan parkir berhampiran bangunan mahkamah dan letupan kedua berlaku beberapa saat kemudian di hadapan mahkamah, lokasi mayat lelaki tersebut ditemui.
Naib Gabenor Daerah Persekutuan, Celina Leao, berkata maklumat awal menunjukkan bahawa lelaki itu membunuh diri dengan bahan letupan selepas cuba memasuki Mahkamah Agung.
Leao memaklumkan bahawa lelaki itu memiliki sebuah kereta berdekatan di mana letupan lain telah menyebabkan but kenderaan itu terbuka.
Leao berharap kejadian tersebut adalah tindakan jenayah individu.Namun, beliau tidak dapat memastikannya.
Pihak polis menyatakan bahawa mereka belum membuat pengecaman akhir terhadap lelaki yang maut itu kerana berdepan risiko bahan letupan tambahan pada tubuh mangsa.
Letupan tersebut berlaku di sekitar Plaza Tiga Kuasa, sebuah dataran ikonik di Brasilia yang menghubungkan bangunan utama tiga cabang kerajaan persekutuan Brazil.
Dataran ini merupakan lokasi rusuhan pada 8 Januari tahun lalu apabila penyokong bekas Presiden Jair Bolsonaro merosakkan bangunan tersebut sebagai protes terhadap kekalahannya dalam pilihan raya.
Polis telah mengerahkan skuad bom dengan bantuan robot pelupusan bahan letupan ke dataran tersebut untuk menyiasat letupan berkenaan.-REUTERS