BEIRUT, 14 November - Israel melancarkan serangan udara ke atas kawasan yang dikuasai Hizbullah di Beirut untuk hari ketiga berturut-turut pada Khamis, dengan menyasarkan kawasan pinggir selatan ibu kota tersebut.
Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA) melaporkan bahawa lima orang terbunuh dalam serangan udara di bandar Bazourieh dan Jumayjimah.
Selain itu, kepulan asap kelihatan di Beirut ketika serangan berlaku. Serangan berlaku hingga ke Bint Jbeil di selatan Lubnan. Serangan udara dan bedilan artileri pada waktu malam menyebabkan kerosakan besar pada bangunan dan kompleks kediaman.
Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 3,365 orang dan mencederakan 14,344 orang di seluruh Lubnan sejak tercetusnya konflik Israel-Hizbullah.
Rabu lalu, pembantu politik kepada Speaker Parlimen Lubnan Nabih Berri, Ali Hassan Khalil, berkata para perunding Lubnan telah mencapai persefahaman awal dengan utusan Amerika Syarikat (AS) Amos Hochstein mengenai rangka kerja untuk gencatan senjata.
Menerusi temu bual dengan penyiar Al Jazeera, Ali menyatakan bahawa cadangan ini telah disampaikan kepada pihak Israel melalui Hochstein, meskipun Lubnan masih belum menerima sebarang maklum balas atau cadangan pindaan daripada Israel.
Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap kumpulan Hizbullah yang disokong Iran sejak akhir September setelah hampir setahun konflik rentas sempadan, seperti peperangan di Gaza.-REUTERS