fb fb fb fb fb

China umum dasar cukai baharu, pacu pasaran hartanah

Foto AFP

BEIJING, 13 November- China mengumumkan beberapa dasar cukai baharu, bertujuan merangsang pasaran hartanah negara yang berdepan kemerosotan.

Menurut laporan media kerajaan, CCTV, insentif cukai duti untuk transaksi perumahan akan dipertingkat bagi menyokong keperluan asas dan penambahbaikan perumahan.

Di China, sektor hartanah menyumbang sekitar satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pernah mengalami pertumbuhan yang pesat selama dua dekad.

Namun, sektor itu berdepan kemerosotan sejak beberapa tahun kebelakangan sekali gus menjejaskan pertumbuhan.

Pihak berkuasa kini menyasarkan pertumbuhan sekitar lima peratus bagi tahun 2024.

Oktober lalu, China mengumumkan bakal meningkatkan kredit bagi projek perumahan yang belum siap kepada lebih daripada $500 bilion, sebagai usaha pemulihannya.

Selain itu, Beijing juga telah melaksanakan pelbagai langkah dalam beberapa bulan kebelakangan ini bagi meningkatkan aktiviti ekonomi, termasuk pengurangan kadar faedah dan pelonggaran beberapa sekatan pembelian rumah.

CCTV melaporkan bahawa pengumuman oleh Kementerian Kewangan China, pihak berkuasa cukai negara dan Kementerian Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar-Bandar hari ini bertujuan untuk menjelaskan pelbagai insentif cukai untuk menyokong pasaran hartanah.

“Pengumuman ini mengesahkan bahawa insentif cukai duti untuk transaksi perumahan akan dipertingkatkan bagi menyokong keperluan asas dan penambahbaikan perumahan.

"Kadar prabayaran minimum cukai tambah nilai tanah juga akan dikurangkan untuk mengurangkan kesulitan kewangan bagi syarikat hartanah," lapor CCTV.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM