fb fb fb fb fb

Tumpahan minyak di Teluk Thailand, tentera laut bersihkan kawasan terjejas

FOTO AFP

THAILAND, 27 Januari- Tentera laut dan pakar pencemaran Thailand bertungkus-lumus membersihkan tumpahan minyak berdekatan sebuah pantai pelancongan terkemuka, di Teluk Thailand.

Ini susulan insiden kebocoran saluran paip bawah laut yang mengeluarkan hampir 50 tan minyak mentah.

Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand memberi amaran tumpahan minyak di Teluk Thailand, kira-kira 20 kilometer pesisir wilayah Rayong itu berupaya mengancam sebuah taman negara berdekatan Pulau Ko Samet.

Arus lemah bagaimanapun berupaya memastikan tumpahan minyak berada jauh dari kawasan pesisir dan belum ada laporan mengenai impak terhadap kehidupan marin atau perusahaan makanan laut.

Star Petroleum Refining Public Company Limited, yang mengendalikan operasi saluran paip minyak itu berkata, jumlah keseluruhan tumpahan minyak dijangka antara 20 hingga 50 tan.

Jelas syarikat itu, penyelam mendapati terdapat kerosakan pada hos anjal yang membentuk sebahagian daripada peralatan saluran bawah laut itu dan menghubungkan pelampung untuk kegunaan kapal pengangkut.

Kejadian serupa pernah berlaku pada 2013 sehingga mencetuskan tumpahan minyak yang meliputi keseluruhan pantai Ko Samet, sekali gus menyaksikan usaha pemuliharaan terpaksa dibuat dengan menggunakan pakaian perlindungan bagi mencuci tanah pantai yang hitam. -AFP

Media Baharu